19 March 2014

Pengalaman Bersalin Anak Sulung

Sudah lama niat di hati untuk berkongsi kegembiraan yang Allah hadiahkan dalam hidup saya. Rezeki anak merupakan impian setiap suami isteri . Saya disahkan hamil pada Oktober 2012. Alhamdulillah. Dan tarikh atau due bersalin saya pada 15 Mei 2013. Tarikh yang saya nantikan. Sepanjang kehamilan saya , seperti ibu hamil yang lain. Alahan semasa hamil cuma morning sickness sahaja dan tiada keinginan untuk makan itu ini seperti yang di alami oleh kebanyakan ibu hamil. Amalan-amalan yang disarankan oleh Islam semasa hamil amat saya titikberatkan seperti makan makanan sunnah seperti kurma dan kismis , mengambil supplement  (semestinya Vita Lea Shaklee ) dan sebagainya. 


Saat kelahiran putera sulung amat mendebarkan. Saya adalah ibu muda yang mungkin kurang pengetahuan dengan ilmu-ilmu tentang kelahiran . Kata orang fisrt time, dan hanya mencedok segala ilmu melalui majalah dan sumber internet sahaja. Pada 12 Mei 2013, keluar tanda tompokan bewarna coklat yang melekat pada panties. Saya hanya merujuk hal ini kepada emak dan katanya itu adalah salah satu tanda-tanda hendak melahirkan. Ketika itu suami sedang bekerja dan saya terus menelefon suami supaya pulang segera untuk ke klinik. Tambahan pula, saya memilih untuk bersalin di hospital swasta. Sebaik sahaja suami pulang, kami terus ke hospital berkenaan untuk berjumpa doktor. Sampai sana, doktor check jalan, 2 cm sahaja. Doktor mengarahkan saya supaya pulang dahulu ke rumah dan datang apabila sakit 5 minit sekali atau benar-benar sakit. 

Kebetulan, rumah mertua berdekatan dengan hospital berkenaan. Kami memilih untuk bermalam di rumah mertua dan tunggu sehingga sakit bersalin datang. Keesokan harinya, sakit mula saya rasakan dan selepas waktu asar semakin sakit. Saya dan suami terus ke hospital. 4 cm dan saya disuruh untuk admit ward. Perasaan makin berdebar, suami tenang sahaja. Saya belum menjamah apa-apa makanan semasa ke hospital dan bekalan makanan seperti roti tiada. Jam 6.30 petang , saya dipanggil masuk ke labour room. Air ketuban dipecahkan . Selepas itu, saya disuruh berehat di bilik dan seterusnya sakit yang amat sangat dapat dirasakan dan serba tidak kena. Saya rasakan kepala bayi asyik menolak dan seperti ingin membuang air besar. Sakit yang tidak dapat dirasakan oleh orang-orang biasa. Hanya ibu sahaja yang dapat rasa. Itu yang boleh saya gambarkan.  

Jam 8.00 malam, terasa seperti kepala bayi sudah mahu keluar. Ya Allah, sakit sangat. Sakit yang luar biasa. Ibu mertua, nenek dan adik-adik ipar sampai untuk melawat kami. Suami memanggil nurse untuk memberitahu keadaan semasa saya. Lalu nurse menyuruh suami menemani saya ke labour room. Tangan suami saya genggam erat-erat dan dia tidak putus-putus memujuk untuk bersabar dan membaca doa serta potongan ayat suci Al-Quran. Bidan memeriksa jalan dan baru 7 cm. Masih belum dibenarkan untuk meneran. Jam 9.30 malam, bukaan ke 9cm dan pada masa itu, bidan dan nurse sudah bersiap sedia sementara menunggu doktor masuk. Seingat saya, nurse yang membantu adalah 4 orang dan seorang bidan. Bidan menyuruh saya meneran dan sedaya upaya saya lakukan. Malangnya , kepala masih belum keluar. Nafas saya pendek. Tenaga saya hilang begitu sahaja. Bidan memeriksa sekali lagi dan bukaan kembali ke 7cm semula. 

Ya Allah, saya sangat letih dan tidak bertenaga. Mana tidaknya, semasa admit ward dan sehingga waktu itu saya belum menjamah apa-apa makanan. Doktor mengarahkan saya berehat dan tunggu sehingga bukaan ke 9cm semula. Seingat saya, pada waktu tersebut, sakit sampai berguling-guling. Suami, bidan dan nurse tidak putus-putus beri semangat. Saya berehat sehingga jam 12.00 tengah malam, dan waktu itu, bukaan 9cm. Doktor mengarahkan bidan untuk masukkan air yang mengandungi ubat untuk beri tenaga supaya saya kuat untuk meneran. Saya sudah bersedia dan sedikit bertenaga, setelah doktor menyuruh saya teran, saya terus meneran, masih tidak keluar. Sehingga doktor cakap " Saya dah nampak rambut anak awak dan kepala dia". Saya kuatkan diri saya dan teran , dan teran dan teran. Tepat jam 12.31 a.m tiba-tiba je saya rasa perut dah tiada isi dan dengar tangisan bayi. Ya Allah aku berjaya. Ya Allah, anak aku, lantas saya terus tersenyum dan memandang suami dan berkata "Abang, anak kita. Alhamdulillah. Itu Yusuff abang..." . Terus bagi nama.

Selepas Yusuff dibersihkan dan dibawa ke bilik bayi, para jururawat dan doktor bersiap-siap untuk mejahit luka koyakan. Apa yang boleh saya katakan , sudah tidak merasa apa-apa. Paha kanan saya dicucuk dan dikeluarkan uri. Situasi sebegini sebenarnya menakutkan saya, tetapi pada waktu itu, suami masih di sisi dan memberi kata-kata semangat kerana beliau tahu saya takut untuk sendirian. Setelah siap , suami dipanggil untuk mengazakan bayi kami, Muhammad Yusuff. Sementara itu saya diberikan ubat tahan sakit dan diberikan susu untuk tambah tenaga yang hilang. Sekitar jam 1.30 pagi, saya dibenarkan masuk ke bilik untuk berehat dan menyusukan Muhammad Yusuff. Kali pertama menyusu, saya tidak janggal malah sangat bangga dan gembira kerana dapat menyusukan bayi saya. 






No comments:

Post a Comment